KUCHING, 25 Feb: Sarawak masih memerlukan jumlah peruntukan yang besar untuk pembangunan prasarana utiliti di luar bandar terutamanya bekalan air, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.
Menurutnya, kadar liputan bekalan air di luar bandar di Sarawak setakat ini hanya 67.2 peratus.
“Memandangkan kawasan Sarawak adalah luas dengan bentuk muka bumi yang mencabar, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk mencapai liputan penuh bekalan air adalah sebanyak RM19 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
“Kementerian saya mengalu-alukan dan berterima kasih dengan pengumuman oleh Perdana Menteri melalui ucapan Belanjawan 2023 semalam dan Sarawak mendapat RM5.6 bilion untuk peruntukan pembangunan,” ujarnya.
Bagaimanapun, hanya sejumlah RM2.5 bilion dari jumlah keseluruhan RM12.1 bilion untuk Sarawak dan Sabah (20 peratus) adalah untuk projek jalan, lampu jalan serta utiliti bekalan air dan elektrik di Sarawak dan Sabah.
“Oleh itu, jumlah peruntukan yang diumumkan untuk prasarana utiliti adalah tidak mencukupi untuk memenuhi hasrat Kerajaan Sarawak mencapai liputan penuh bekalan air menjelang 2030 dan berharap peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada Sarawak,” ujarnya. – TVS