BELAGA, 25 Feb: Sekitar 30 kilometer dari Penempatan Semula Tunoh, Kampung Sang Anau terdapat banyak lokasi air terjun yang menghiasi kawasan ini yang berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan.
Berikutan itu menurut kenyataan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri (JAPEN) Sarawak, pembinaan Lapangan Terbang Bukit Mabong yang dijangka siap pada Februari 2024 diyakini sebagai pintu masuk para pelancong ke kawasan Sang Anau di sini.
Selain menjanjikan keindahan air terjun, JAPEN Sarawak mengakui kawasan terbabit memiliki hamparan hutan simpan yang masih terpelihara dan kaya dengan flora dan fauna.

Bakun. Foto: JAPEN
Justeru itu, kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat itu mendedahkan kemudahan lapangan terbang berkenaan bakal merancakkan kemasukan pelancong dalam dan luar negara untuk berkunjung serta menghayati keindahan ekopelancongan setempat.
“Mengambil contoh konsep ekopelancongan yang diguna pakai oleh pengusaha pelancongan di Mulu, Sang Anau boleh menawarkan konsep yang sama melalui kaedah inap desa dan pendedahan kepada cara hidup kaum Orang Ulu terutamanya Kenyah Uma Baha,” menurut kenyataan itu lagi.

di Kampung Sang Anau. Foto: JAPEN
Menariknya di sini, Sang Anau juga boleh menawarkan aktiviti lasak seperti pendakian bukit dan gunung kerana faktor lokasinya yang terletak di sekitar kawasan berbukit dan bergunung.
Malah, kawasan tersebut juga sesuai untuk peminat sukan aktiviti lasak ‘offroad’ pacuan empat roda 4×4 kerana mempunyai keadaan muka bumi yang mencabar dan cantik.
Berkongsi lanjut Ketua Kampung Sang Anau, Enyommos Ngang, nama Sang Anau diambil sempena sejenis pokok berdaun lebar yang banyak didapati di kawasan tersebut dan mula dibuka pada tahun 1997. – TVS