KOTA KINABALU, 25 Feb: Sabah FC yang menjadi pasukan pilihan Liga Super musim ini membelasah PDRM FC 4-0 dalam perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Likas malam ini.
Skuad Badak berjaya membuka jaringan pertama menerusi sepakan Saddil Ramdani pada minit ke-13.
Kapten Pasukan Sabah, Park Tae-Soo yang gagal menjaringkan gol pada awal permainan menebus kegagalan dengan menanduk bola hantaran Saddil pada minit ke-37. Kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.
Pemain sayap Indonesia, Saddil sekali lagi menyentak pasukan Sang Saka Biru dengan menambah gol ketiga pada minit ke-71
Pintu gawang PDRM sekali lagi digegarkan dengan gol keempat menerusi Stuart Wilkin pada masa kecederaan. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan keputusan ini, Sabah muncul pendahulu Liga Super dengan kelebihan jaringan memisahkan mereka dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sementara itu, Pengendali Pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam sidang media berkata, pasukannya berjaya memperoleh tiga mata penting dalam perlawanan pembukaan.
“Kita akan melalui banyak lagi perlawanan dan saya percaya perlawanan yang akan datang bukan satu perlawanan yang mudah, kita harus kekal fokus dan tidak boleh terlampau yakin.
“(Perlawanan) seperti saya katakan selang beberapa hari, kita perlu berada pada tahap kecergasan yang baik sebelum bertemu dengan Kelantan,” katanya.-TVS