KOTA SAMARAHAN, 25 Feb: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka akan melawat Sarawak dalam masa terdekat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lawatan itu dijangka dilakukan pada Mac ataupun April tahun ini.
“Tahun ini pada Mac atau April, Raja Permaisuri akan datang melawat Sarawak lagi, pada September Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekeluarga dijangka akan memandu dari Telok Melano iaitu dari hujung Sarawak menelusuri lebuh raya negara Brunei Darussalam sehingga ke Sabah.
“Saya secara peribadinya berpendapat, baginda berdua berkenan ke Sarawak kerana mereka sangat kagum dengan keharmonian dan toleransi yang kita ada,” kata Abdul Karim dalam ucapannya pada sesi Townhall untuk Industri Kreatif di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, beliau pernah mencadangkan kepada Raja Permaisuri untuk memandu menelusuri jalan raya Sarawak bagi mengenali wilayah ini dengan lebih dekat lagi.
“Saya ada menyebut kepada Raja Permaisuri sekiranya baginda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Sarawak, boleh cuba memandu serta melawat kawasan rumah panjang, kampung kemudian dari situ terdapat pelbagai perkara yang boleh dipelajari,” jelasnya lagi.
Abdul Karim menegaskan kehidupan sedemikian di Sarawak perlu terus dipelihara dan mengelak dari berlakunya sebarang aktiviti ekstremisme dalam kalangan masyarakat Sarawak. – TVS