Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menghadiri sesi taklimat dan lawatan tapak pembinaan dan penyiapan Jalan Sungai Maong ke Segedup hari ini. Foto: TVS

Projek jalan raya Kampung Sungai Maong-Segedup beri manfaat kepada penduduk

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 25 Feb: Projek jalan raya yang menyambungkan Jalan Kampung Sungai Maong ke Kampung Segedup bakal memberi manfaat kepada penduduk kampung setempat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, dengan siapnya jalan itu, kerajaan akan membangunkan sebanyak 273 lot rumah bagi fasa pertama yang terletak di antara kedua-dua kampung tersebut.

“Jalan itu akan membuka kawasan baharu. Kawasan berkenaan akan menyaksikan satu rumah dianggarkan lebih kurang 10 ‘point’ di mana kita akan bangunkan skim perumahan mampu milik.

“Ia akan dibangunkan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS), manakala infrastruktur di kawasan tersebut akan dibangunkan oleh pihak Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat dan lawatan tapak pembinaan dan penyiapan Jalan Sungai Maong ke Segedup di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki dan ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurut Abang Johari, kerajaan akan menanggung perbelanjaan kos projek berkenaan yang menelan belanja sekitar RM88 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kos tersebut merangkumi pembinaan parit, tembok, jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air.

Sementara itu, Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak bakal membangunkan sebanyak 227 lot perumahan bagi fasa kedua seusai fasa pertama siap sepenuhnya.

Abang Johari turut memberitahu, penduduk Kampung Kudei akan diberi keutamaan untuk menerima lot perumahan yang dibina kerajaan itu.

“Hal ini kerana ramai penduduk yang berhijrah ke kampung itu melibatkan masyarakat Melayu dan Iban.

“Oleh itu, tentu sekali kita mahu tempatkan mereka di kawasan perumahan yang lebih selesa,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan