KUCHING, 24 Feb: Umat Islam di negara ini khususnya di Sarawak diseru untuk terus berpegang teguh kepada ajaran sebenar Islam ekoran dunia hari ini menghampiri akhir zaman.
Menurut Pendakwah, Ustaz Mahfuz Muhammad, dengan pimpinan Ahli Sunah Wal Jamaah yang berpandukan Al-quran dan Sunnah umat Islam diyakini bijak membezakan antara perkara baik dan sebaliknya.
Tambah Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu dakwaan segelintir pihak yang mendakwa pengisiannya adalah berzikir dan memuji kebesaran Baginda Nabi Muhammad S.A.W sebagai bida’ah kerana seolah-olah mengaggungkan baginda melebihi Allah s.w.t.
Menurutnya lagi, dua minggu sebelum kewafatan Baginda Nabi Muhammad S.A.W, Baginda dilihat sering bersendirian dan menangis kerana merindui satu kaum.
“Para sahabat Baginda merasa hairan kerana mereka semua sering mendamping Rasullah sehingga sahabat bertanya siapakah yang dirindui Rasullah?
“Baginda menjawab umatku yang sentiasa lidahnya menyebut namaku tetapi aku tidak pernah temui.
“Jika seorang Rasul yang akan memberikan kita syafaat di Padang Masyar kelak merindui kita walaupun tidak pernah bersua muka, mengapa kita pula tidak boleh menzahirkan rasa cinta kita kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W menerusi program seumpaman ini?” soal beliau lagi.
Mahfuz berkata demikian di hadapan lebih 500 muslimin dan muslimat yang menghadiri Majlis Rasulullah S.A.W Malaysia cawangan Sarawak yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kampung Gita Kuching, di sini pada Jumaat.
Majlis turut menyaksikan tetamu jemputan khas Ulama terkenal dari Yaman Habib Abdullah Abdul Qader Al-Habsyi menyampaikan amanat beliau.
Habib Abdullah turut mengingatkan umat Islam di Sarawak supaya senantiasa mendalami ilmu agama dengan menghadirkan diri ke program seumpama itu.
“Allah memerintahkan para Malaikat untuk turun dari langit ke dunia untuk mencari majlis ilmu seumpama ini.
“Malaikat kemudian akan turun bersama-sama kita di majlis ini dan mendoakan kesejahteraan kita semua.
“Insya-Allah semua yang hadir pada majlis malam ini akan diampunkan dosa dan diberikan barakah tidak kira yang hadir secara rela atau disebabkan ada tujuan lain,” katanya.
Habib Abdullah turut mengingatkan hadirin untuk sentiasa berada dekat dengan orang yang soleh kerana pandangan kepada orang yang soleh mampu melembut hati agar sentiasa mengarah kepada kebaikan.
Beliau juga menasihatkan agar tidak sentiasa leka melihat telefon bimbit dan media sosial kerana didalamnya terkandung wajah wanita dan lelaki yang bukan muhrim sehingga menyebabkan maksiat mata berlaku.
Turut hadir Pemimpin Majlis Rasulullah S.A.W di Malaysia Habib Nael Ben Tahir dan beberapa ulama Malaysia antaranya Habib Izzudin Al-Idrus, Ustaz Manterang Isa dan Ustaz Mahfuz Muhammad. – TVS