KUCHING, 25 Feb: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memperkasakan Dekad Keemasan Ekonomi Digital dan mengatasi masalah ekosistem digital negara yang merentasi sektor industri dan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, menerusi kenyataan hari ini, Menteri Komunikasi dam Digital Fahmi Fadzil menerima baik Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menurut Fahmi, belanjawan berkenaan bersifat mengutamakan penyediaan kemudahan internet dan memperkasakan ekonomi digital yang merangkumi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan 5G yang lebih luas, inisiatif capaian Internet di Program Perumahan Rakyat (PPR), pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi), peruntukan Skim Geran Pendigitalan PKS dan usaha membanteras scam menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
“Segala usaha dalam memperkukuhkan  ekosistem digital negara memerlukan perancangan dan kerjasama yang tinggi dan MCMC akan terus menyokong usaha tersebut dalam merealisasikan serta mencapai aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Belanjawan 2023 yang dibentang pada Jumaat bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang melibatkan peruntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – TVS