SERIAN, 25 Feb: Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di KM 14 Jalan Serian-Kuching berhampiran Simpang Kampung Tian di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan (DSP), Aswandy Anis berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa secara tiba-tiba menukar laluan dari lorong kiri ke lorong kanan, sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.
“Pemandu kereta sempat mengelak tetapi disebabkan jarak yang dekat, pemandu telah melanggar belakang kiri motosikal tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal telah tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Serian,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aswandy, kejadian berlaku di jalan lurus dan keadaan cuaca pada ketika itu adalah mendung.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu mayat lelaki tersebut telah dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-TVS