KUCHING, 25 Feb: Konsert sulung Fabio Asher di sini berjaya membuai peminatnya dengan perasaan ‘galau’ di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Fabio yang terkenal dengan lagu Rumah Singgah dan Bertahan Terluka dari Indonesia itu berjaya memukau hampir 1,000 peminat dengan melantunkan 14 buah lagu termasuk tujuh buah ‘cover’ lagu seperti Bukan Cinta Biasa nyanyian asal Dato’ Sri Siti Nurhaliza, All of Me nyanyian asal John Legend dan Januari dendangan asal Allahyarham Glenn Fredly.
Konsert tersebut dimulakan dengan persembahan pembukaan daripada Ir Radzi yang mendendangkan empat buah lagu selama 30 minit dan telah berjaya memancarkan mood galau itu kepada penonton.
Tepat jam 9:10 malam, Fabio Asher tampil di pentas bagi memulakan persembahan pertamanya dengan iringan tiupan saksofon berjudul Pelangi (Pelan-Pelan Menghilang) yang cukup bertenaga dan berjaya menceriakan penonton.
Istimewanya kata Fabio, dia dahulu sudah memasang impian untuk bertandang ke negeri Sarawak sejak kecil lagi dan telah menulis di dalam diarinya.
“Kalimantan sangat besar dan jika kita melihat di bahagian utara (Kepulauan Borneo), terdapat negeri Sarawak di dalam Malaysia.
“Alhamdulillah, impian saya sudah tercapai dan sangat gembira untuk mempersembahkan lagu saya kepada anda semua di Kuching,” cerita Fabio sebelum mendendangkan lagu seterusnya.
Pada segmen pertama, Fabio mengenakan pakaian sut berwarna putih dengan mempersembahkan tujuh buah lagu dan kemudiannya pada segmen kedua, Fabio menukar pakaian dengan memakai pakaian sut berwarna hitam disusuli dengan mempersembahkan tujuh buah lagu lagi.
Bagi menutup tirai pentasnya yang beraksi hampir dua jam semalam, Fabio mempersembahkan lagu popularnya, Rumah Singgah dan Akhir Yang Manis.
Dalam perkembangan sama, Fabio akui walaupun album mininya, ASHER, yang telah dilancarkan pada 2 Februari lalu yang hanya mempunyai tujuh buah lagu sahaja, Fabio bersyukur susulan album berkenaan diterima ramai.
Malahan katanya lagu Bertahan Terluka, berjaya tular di TikTok serta mengungguli carta-carta tempatan dan antarabangsa iaitu Carta Viral 50 Global dan Indonesia, Carta Apple Music, Carta Joox dan Carta Billboard Indonesia serta penganugerahan daripada industri muzik di Indonesia.
“Apabila saya mendapat anugerah daripada Anugerah Muzik Indonesia bagi kategori Pendatang Baru Terbaik-Terbaik (Artis Baharu Terbaik) pada Oktober tahun lalu, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana sudi mendengar dan menyokong karier saya.
“Saya harap persembahan saya pada malam ini dapat galaukan anda semua dan sama-sama kita ‘healing’,” katanya lagi.
Jika disimpulkan, dua jam setengah menikmati konsert Fabio Asher seperti tidak puas namun apa pun ia merupakan satu malam yang cukup istimewa buat Fabio serta peminat yang hadir.
Hari ini, Fabio meneruskan jelajah terakhirnya di Malaysia dalam konsert Fabio Asher: Live in Malaysia 2.0 di Zepp Kuala Lumpur dan dijangka turut akan mempersembahkan lagu setlist yang serupa di Kuching.
Konsert Fabio Asher: Live in Malaysia 2.0 dibawakan oleh Ael-Event (ALive) dengan kerjasama UberTickets selaku rakan kongsi penjualan tiket rasmi, Era selaku rakan radio rasmi serta Gempak dan TVS selaku rakan media rasmi. – TVS