LIMBANG, 25 Feb: Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan jelas tidak meminggirkan penduduk di utara negeri ini, kata Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) itu mengakui rakyat di sini turut menikmati manfaat daripada inti pati belanjawan berkenaan melalui peruntukan sebanyak RM20 bilion untuk menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah Dan Sarawak, Sabah Link Road (SSLR) dengan jajaran lebih 1,000 kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menjelaskan pemgumuman itu mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembinaan projek jalan raya menghubungkan Lawas, Limbang terus ke Miri tanpa melalui Brunei yang amat didambakan penduduk di sini selama ini.
“Walaupun keadaan ekonomi yang mencabar, Belanjawan itu bertambah sebenarnya daripada Belanjawan yang dibentang oleh Perdana Menteri kesembilan.”
“Untuk Sabah dan Sarawak ada pertambahan juga seperti yang disebut mempunyai kaitan dengan kita di Limbang ini yang selama ini menjadi impian kita adalah peruntukan untuk meneruskan projek Pan Borneo Highway dan projek SSLR berjumlah RM20 bilion untuk tahun 2023.
“Ini bermakna SSLR itu akan diteruskan dan akan membawa kesan baik kepada kita agar dapat menghubungkan Miri dan Limbang,” katanya ketika berucap pada Perasmian Motor Day 1.0 di Lot 777 di sini, hari ini.
Menurut Dr. Abdul Rahman lagi dengan adanya SSLR itu, rakyat di Limbang dan Lawas mempunyai pilihan untuk ke Miri sama ada menggunakan jalan melalui negara jiran Brunei Darussalam mahupun melalui rangkaian jalan SSLR apabila siap pada 2028.
Beliau menambah Belanjawan 2023 turut menyaksikan sejumlah peruntukan besar disalur kepada Kementerian Pendidikan yang menerima peruntukan sejumlah RM55.2 bilion, Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM36.3 bilion dan Kementerian Pendidikan Tinggi menerima RM15.3 bilion.
Justeru itu, selepas ini beliau berharap agar Kementerian Kesihatan dapat mempertimbangkan permintaan dan keluh kesah warga di utara Sarawak untuk mendapatkan sebuah bangunan ataupun kompleks hospital pakar bagi menempatkan lebih ramai pakar perubatan ke daerah berkenaan.
“Kementerian Kesihatan kalau tidak silap saya mendapat bajet yang terbesar dan apa yang diperlukan untuk kita di Limbang adalah pembinaan bangunan hospital pakar”.
“Sekali lagi saya sebutkan disini supaya kerajaan Persekutuan akan meluluskan pembinaan bangunan pakar untuk hospital Limbang supaya lebih ramai pakar dapat ditempatkan di hospital kita,” ujarnya lagi.
Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ membabitkan peruntukan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Hadir sama Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. – TVS