KOTA SAMARAHAN, 25 Feb: Sarawak mengalu-alukan peruntukan dari pihak Persekutuan untuk membangunkan sektor industri kreatif di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau tidak memberi penekanan kepada jumlah tertentu, namun peruntukan yang akan diberikan nanti akan digunakan untuk pembangunan fasiliti industri tersebut.
“Terpulang kepada mereka untuk tentukan jumlah tetapi kalau menterinya dari Sarawak, mungkin jiwanya cenderung untuk membantu. Kalau menterinya dari Terengganu atau negeri lain, mungkin akan kurang sedikit.
“Industri kreatif ini terletak di bawah banyak pihak antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pelancongan juga ada kerana ia melibatkan seni dan budaya. Jadi untuk seni dan budaya, dijaga oleh menteri kita dari Bintulu iaitu Datuk Seri Tiong King Sing. Saya berharap Datuk Tiong akan mempertimbangkannya kerana beliau juga dari Sarawak,” jelas Abdul Karim dalam satu sidang media selepas merasmikan sesi Townhall untuk Industri Kreatif di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jumlah peruntukan RM127 juta dari Belanjawan 2023 yang disediakan di bawah Seni Budaya, Karya Kreatif dan Bahasa dalam pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu memberitahu semasa perjumpaan dengan menteri-menteri terlibat, pihak Kerajaan Negeri memohon sokongan dari pihak Persekutuan untuk membangunkan infrastruktur yang bersangkut paut dengan industri berkenaan di Sarawak.
“Buat masa ini saya belum lagi meneliti tentang peruntukan dari Persekutuan, namun saya berharap sesiapa sahaja yang menjaga industri kreatif dan dananya akan meletakkan pertimbangan bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga Sabah kerana sekarang kita sudah tampil sebagai tiga wilayah.
“Namun begitu, di pihak Kerajaan Sarawak, kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu golongan ini,” tegasnya lagi. -TVS