KUCHING, 25 Feb: Anak- anak Sarawak mempunyai bakat dan potensi besar yang boleh diketengahkan dalam bidang seni, kata Pelakon Veteran, Fauziah Nawi, 70.
Tenaga pengajar Program One Step Closer:Edisi Borneo (Bengkel Lakonan dan Karektor) itu berkata, menerusi usaha yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Cawangan Sarawak, beliau berharap agar minat dan usaha yang ada dapat terus dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Dari dulu saya sudah mempunyai hubungan yang baik dengan seniman di Sarawak, sejak saya jadi penari, Sarawak memang kaya dengan kesenian, dan juga cerita rakyat.
“Walaupun hanya 17 peserta yang mengikuti bengkel ini, saya melihat penggiat seni dan anak-anak Sarawak sungguh berbakat dan saya harap usaha ini dapat diteruskan untuk mereka mengembangkan lagi bakat yang mereka ada,” katanya.
@tvstvmy Anak-anak Sarawak mempunyai bakat dan potensi besar yang boleh diketengahkan dalam bidang seni, kata Pelakon Veteran, Fauziah Nawi. 📹TVS #TVS122 #TVSNews #IndustriKreatif
Beliau berkata, banyak perkara yang perlu diberikan tumpuan dalam merancakkan pembangunan industri kreatif di Sarawak.
“Sarawak tidak pernah ketandusan dengan potensi bakat dan juga isi kandungan kerana banyak cerita rakyat di sini,” katanya ketika ditemui TVS selepas menyampaikan sijil kepada 17 peserta Bengkel Lakonan dan Karektor di sini, semalam.
Beliau turut berharap apa yang diusahakan dan dirancang akan terus menyemarak industri kreatif di Sarawak. – TVS