KUCHING, 23 Feb: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri melantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Rejimen Askar Wataniah Sarawak (LAKRAWS) yang ditubuhkan.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan LAKRAWS bertujuan untuk menguruskan soal kebajikan dan kesejahteraan Pegawai Rejimen Askar Wataniah Sarawak.
Kata beliau, LAKRAWS juga akan memastikan geran dan juga sumbangan yang diberikan akan diurus dengan baik.
“Selain Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak sebaga Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah LAKRAWS yang dilantik ialah Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi selaku Timbalan Pengerusi.
“Kita juga melantik Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr Jamil Hamali selaku Setiausaha, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie selaku Bendahari serta empat pemegang amanah yang lain dengan tempoh perlantikan berkuatkuasa selama tiga tahun bermula 7 Disember 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini. -TVS