Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Sarawak menerima RM5.6 bilion berbanding RM5.4 bilion pada tahun 2022. Foto hiasan: TVS

Belanjawan 2023: RM5.6 bilion peruntukan untuk pelbagai projek infrastruktur di Sarawak

KUCHING, 24 Feb: Sarawak terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara. Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Sarawak menerima RM5.6 bilion berbanding RM5.4 bilion pada tahun 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah itu termasuklah perancangan untuk membangunkan kawasan-kawasan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah dan Ba’ Kelalan, Sarawak dengan kos RM1 bilion.

“Selain itu, lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan projek-projek melibatkan prasarana awam yang kebanyakannya untuk manfaat Sabah dan Sarawak melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik. 

“Kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Anwar turut memberitahu kerajaan akan menambah kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30 juta kepada Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

“Inisiatif IPR ini adalah bagi menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa pendekatan baharu akan dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.

“Antaranya bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.

“Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.

“Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil diperoleh,” katanya. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan