ORLANDO, 23 Feb: Seorang wartawan TV sebuah syarikat penyiaran Amerika Syarikat (AS) ditembak mati ketika membuat liputan kejadian pembunuhan di Orlando, Florida, AS pada Rabu (22 Feb).
Rakan setugasnya, jurukamera Spectrum News 13 turut ditembak dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Suspek telah melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa yang sedang berada di dalam kenderaan berhampiran lokasi pembunuhan awal di Pine Hills yang berlaku beberapa jam sebelum itu.
Sejurus itu, suspek meluru ke arah sebuah rumah berhampiran lalu menembak mati seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan mencederakan ibu mangsa.
Memetik laporan dari Reuters, suspek yang dikenali sebagai Keith Moses, 19, telah ditahan sejurus selepas serangan, berhampiran Orlando Pine Hills, menurut Syerif Orange County John Mina.
https://twitter.com/OrangeCoSheriff/status/1628577832426258439
“Moses ditahan sebagai suspek dalam tiga serangan tembakan, termasuk kes pembunuhan seorang wanita 20-an, yang berlaku beberapa jam sebelum kes wartawan dan kanak-kanak ditembak mati,” menurut Reuters.
Tambahnya, suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk tangkapan atas tuduhan kesalahan senjata api, serangan dengan senjata maut, pecah rumah dan kecurian besar.
Sheriff John Mina update on shooting https://t.co/G0XaiTzdnt
— Orange County Sheriff's Office (@OrangeCoSheriff) February 23, 2023
“Setakat yang kami tahu, dia tidak mempunyai kaitan dengan wartawan dan tiada kaitan dengan ibu atau kanak-kanak berusia 9 tahun, dan kami tidak tahu mengapa dia memasuki rumah mereka,” kata Sheriff terbabit. – TVS