KUALA LUMPUR, 23 Feb: Pembangunan produk-produk pelancongan mampu meningkatkan pendapatan penduduk khususnya di kawasan Parlimen Puncak Borneo.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata terdapat lebih daripada 30 gua dan 40 air terjun yang boleh dipromosi sebagai produk pelancongan baharu.
“Di sini (Puncak Borneo) kita mempunyai empat kolam air panas, 32 gua yang boleh diterokai dan lebih daripada 40 air terjun semula jadi yang begitu indah sekali.
“Tarikan-tarikan ini merupakan produk ekopelancongan yang kita boleh gilap lagi kerana segelintir daripadanya diusahakan oleh pengusaha tempatan.
“Kesan limpahan sekiranya kita bangunkan produk-produk pelancongan ini boleh lagi merancakkan pendapatan penduduk di sekitar kawasan Puncak Borneo,” katanya yang ditemui TVS di Parlimen di sini hari ini.
Menurutnya pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya di kawasan Parlimennya belum lengkap dan memerlukan lebih peruntukan untuk pelaksanaannya.
“Kampung-kampung seperti Kampung Biak Jabir, Kampung Sting, Kampung Semban masih lagi tidak mempunyai akses jalan yang baik.
“Kita harus menyediakan perhubungan jalan raya yang baik barulah kita dapat membawa pembangunan lain di Puncak Borneo bukan untuk manfaat penduduk dalam jangka masa panjang,” jelasnya. – TVS