MIRI, 23 Feb: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan mencecah RM500,000 menerusi penganjuran Program Sarawak FAMA Fest 2023 (SAFF 2023) yang bermula hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, SAFF 2023 yang berlangsung di Bintang Mega Mall di sini menjadi medan pertemuan melibatkan agensi kerajaan, petani dan usahawan dalam menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan pada harga yang mampu dibeli oleh pengguna.
“FAMA menyasarkan seramai 20,000 pengunjung akan hadir pada SAFF 2023 yang berakhir pada 26 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu di sini hari ini.
Sementara itu, Foong Hin berkata, FAMA turut menyasarkan potensi nilai eksport sebanyak RM3 juta menerusi sesi padanan perniagaan.
Katanya, agensi itu akan menemukan usahawan tempatan dengan ejen pemasar dari Brunei, Thailand, Hong Kong dan China untuk memperluas pasaran produk agromakanan Sarawak ke pasaran global. -TVS