KUCHING, 23 Feb: Kontinjen Rumpun Silat Sarawak (RSS) menyasarkan untuk meraih tujuh pingat emas pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 (SPISC) yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya, bermula 27 Februari ini hingga 5 Mac depan.
Ketua Jurulatihnya, Fadzil Jamain berkata, berdasarkan persiapan rapi dilakukan, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai biarpun bakal menerima tentangan sengit terutamanya oleh atlet luar negara.
“Saingan sengit kerana Thailand dan Singapura akan turut menghantar pesilat terbaik masing – masing namun saya yakin pesilat RSS untuk menyerap tekanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas hadir pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Sarawak yang akan beraksi pada SPISC.
Penyerahan bendera dilakukan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau yakin edisi sulung SPISC berpotensi untuk menyemarakkan industri pelancongan sekaligus mempamerkan keunikan warisan dan budaya silat dari seluruh negara.
Katanya, penganjuran SPISC juga bermatlamat untuk merapatkan silaturahim antara peminat silat antarabangsa dan tempatan.
“Jadi kita harap acara ini akan berjalan lancar,” katanya.
Berkenaan potensi pesilat Sarawak, Abdul Karim menyuarakan keyakinan mereka mampu mencapai keputusan cemerlang kerana kontinjen Sarawak turut disertai oleh dua orang bekas atlet pencak silat Sukan Malaysia (SUKMA).
“Saya berharap mereka berdua mampu memberi dorongan dan semangat buat atlet baharu,” katanya.
Kejuaraan yang dianjurkan oleh RSS itu bakal disertai seramai 800 pesilat termasuk pegawai daripada 16 buah negara.
Antara negara yang menghantar pasukan pada kejuraan ini termasuklah Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Uzbekiztan, India, Afrika Selatan, Thailand, Vietnam dan Amerika Syarikat.
Juara bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM88,670, pingat emas serta tali pinggang kejuaraan.
Perasmian Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg 27 Februari ini. -TVS