LIMBANG, 23 Feb: Pengusaha kedai makan di Limbang digalakkan untuk menawarkan hidangan pada harga Menu Rahmah bagi meringankan beban golongan B40 di sini.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Matthew Dominic Barin berkata Menu Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai hidangan terbaik rakyat Malaysia kerana mengandungi makanan berkhasiat, seimbang dan bernutrisi.
Malahan katanya inisiatif yang dilancarkan pada 31 januari lalu telah mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
Beliau memberitahu inisiatif itu kini disifatkan menjaga kebajikan rakyat terutama golongan B40 dengan menawarkan hidangan berkhasiat pada tengahari dan malam dengan harga RM 5 sepinggan.
Sehubungan dengan itu, pihaknya mengalakkan pengusaha kedai makan terutama di bahagian Limbang untuk menyertai dan menawarkan hidangan pada harga Menu Rahmah.
“Kita telah melancarkan Menu Rahmah di Limbang dan Restoran Dayana Curry House di sini adalah yang pertama melaksanakan inisiatif Menu Rahmah.
“Jadi apa yang kita nampak makanan yang sedia ada adalah makanan yang berkhasiat iaitu mengandungi ayam goreng, ayam masak madu, sayur kacang dan juga nasi putih dan setiap hari Jumaat menghidangkan menu nasi beriani ayam,” katanya ketika ditemui TVS pada Pelancaran Menu Rahmah di Restoran Dayana Curry House di sini, pada Rabu.
Namun begitu katanya tiada paksaan kepada para pengusaha untuk menawarkan Menu Rahmah di sini.
“Ia (Menu Rahmah) disediakan secara sukarela,” ujarnya.
Terdapat tiga kedai makanan yang menawarkan Menu Rahmah di Limbang iaitu Restoran Dayana Curry House, Mr Bim Cafe dan New Mei Sing Coffee Shop, selain dua kedai makan di Lawas.
Turut sama Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sarawak, Peter J. Berinus Agang, Ketua Cawangan KPDN Limbang, Pulnama Tarah dan Timbalannya Idrus Nalin. – TVS