Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sejak beliau berkhidmat di KDN pada Disember tahun lepas, sebanyak 4,294 permohonan telah diproses dan daripada jumlah itu, hampir 67 peratus diluluskan manakala bakinya ditolak.
“Saya kongsikan statistik sejak 2013 hingga 21 Feb 2023, terdapat sebanyak 132,272 permohonan yang diterima untuk menjadi warganegara Malaysia.
“Sekarang saya dah buat keputusan terhadap 4,300 dan bakinya tak banyak lagi, dan saya yakin sebelum hujung tahun saya boleh mencapai sehingga 10,000 permohonan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata antara sebab permohonan ditolak ialah pemohon tidak mendaftarkan perkahwinan semasa memohon kewarganegaraan untuk anak, pemohon tidak mempunyai bukti berada dalam negara ketika memohon, pemohon tidak mempunyai locus standi serta terdapat unsur keraguan dan pencanggahan fakta semasa semakan dibuat.