KUCHING, 23 Feb: Dua pesilat adik beradik, Zulaika Razaman dan Mohd. Ashraf Amirul Razaman yang akan mengibarkan cabaran Sarawak pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 memasang impian untuk meraih pinagt emas dalam kategori masing – masing.
Zulaika yang pernah beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) berkata, di sebalik sasaran itu, dia menyedari bakal menerima tentangan sengit terutamanya dari wakil Singapura dan Indonesia.
“Sebenarnya saya sudah lama bersama atlet Malaysia dalam sukan pencak silat dan mengakui cabaran sentiasa ada dalam setiap pertandingan.
“Apabila beraksi di Sarawak, sudah tentu saya mahu memberikan persembahan terbaik namun perlu berhati – hati kerana pesilat dari dua negara berkenaan juga mempunyai pengalaman,” katanya kepada TVS.
Zulaika yang bernaung di bawah Rumpun Silat Sarawak (RSS) hari ini hadir pada majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak yang diserahkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sempena kejohanan itu.
Sementara itu, abangnya Mohd. Ashraf Amirul Razaman berkata, persediaan rapi telah dilakukan bagi menghadapi SPISC dan sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada kejuaraan tersebut.
“Semestinya sasaran saya mahu menang kali ini namun saya berwaspada dengan kehadiran pesilat dari Terengganu, iaitu Izzul Irfan,” katanya.
Pada masa sama, pesilat berusia 23 tahun itu berkata, dia tidak memandang rendah keupayaan pesilat lain.
“Apa yang penting, SPISC memberi peluang kepada saya untuk bertempur dengan pesilat luar termasuk dari Thailand dan ini akan menambah pengalaman,” katanya.
Kejohanan yang berakhir pada 5 Mac itu secara keseluruhan akan menyaksikan lebih 800 pesilat bersaing termasuk dari Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Uzbekiztan, India, Afrika Selatan, Thailand, Vietnam dan Amerika Syarikat.
Juara bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM88,670, pingat emas serta tali pinggang kejuaraan.
Perasmian Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 27 Februari ini. -TVS