MIRI, 22 Feb: Kerajaan Sarawak komited dalam melahirkan dan menggalakkan lebih ramai rakyat berkecimpung dalam bidang keusahawanan dengan mengadakan program seperti Jum Regista Bisnes (REGISTA).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, melalui platform program berkenaan ia jelas menunjukkan kerajaan sentiasa menyokong penuh bidang keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi rakyat sekali gus ekonomi negara.
Tambah beliau lagi, kementeriannya akan terus menyediakan pinjaman mudah melalui Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bagi membantu para usahawan berjaya dalam perniagaan mereka.
“Kerajaan Sarawak melalui kementerian saya akan terus menyediakan pinjaman mudah melalui Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS). Setakat ini, sebanyak RM59.98 juta telah disalurkan kepada 1,904 penerima. Sejak pelaksanaan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), sebanyak RM33.01 juta telah diagihkan dan sebanyak 432 Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) telah menerima manfaat,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jum Regista Bisnes (REGISTA) di Miri hari ini.
Beliau yang mewakili Datuk Amar Tengah Ali Hasan pada majlis tersebut berkata, kementeriannya juga turut menyalurkan bantuan kepada usahawan muda melalui Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) bagi memulakan perniagaan mereka.
Sehingga kini katanya, sebanyak RM9.83 juta telah diagihkan kepada 1,000 lebih Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS).
“Program lain seperti Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) yang telah disalurkan kepada bekas graduan dan graduan lepasan sekolah di mana RM9.83 juta telah diagihkan kepada lebih daripada 1,100 PKS,” katanya lagi.
Lebih 200 peserta dari daerah Miri hadir pada program tersebut dan Miri merupakan lokasi pertama tahun ini bagi penganjuran program tersebut selepas diadakan di Bintulu, Serian, Sibu, Samarahan, Marudi, Kapit, Saratok dan Sarikei pada tahun lepas. -TVS