KUCHING, 22 Feb: Lebih 70 orang individu tanpa kewarganegaraan di Sarawak akan menerima dokumen sementara di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri berkata, dokumen tersebut akan diserahkan sebelum penggal persekolahan baharu dibuka.
“Ini akan membolehkan mereka terutamanya pelajar mempunyai dokumen pengenalan diri untuk memasuki sekolah dan mendapatkan khidmat kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Corina Tiwet dan Duta Besar Malaysia ke Holy See, Hendy Assan di pejabatnya di sini hari ini.
Pada November lepas, Fatimah memaklumkan, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di negeri itu.
Kata beliau, antara syarat dikenakan ialah pemohon perlu mempunyai sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak berstatus Warganegara Belum Ditentukan dan telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, mengulas mengenai Program MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Fatimah berkata, ia merupakan inisiatif JPN bagi memudahkan penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar mendapatkan perkhidmatan pendaftaran kelahiran, kematian dan kad pengenalan. -TVS