LIMBANG, 21 Feb: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan terus mentranformasikan infrastruktur di Sarawak membabitkan prasarana jalan raya dan pembinaan jambatan serta kemudahan lain melalui pelaksanaan beberapa projek besar dengan kos RM40 bilion hingga RM50 bilion.
Timbalan Menterinya, Ir. Aidel Lariwoo berkata, sebelum ini kementeriannya tidak pernah mengendalikan projek-proek yang begitu banyak dengan kos yang agak tinggi.
Pelaksanaan projek yang begitu banyak ini katanya, adalah aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mentransformasikan kemudahan dan infrastruktur dengan membangunkan pelbagai projek di bawah koridor-koridor baharu rancangan Malaysia, selain projek di bawah kementeriannya sendiri.
Oleh itu, katanya, kesemua projek pembangunan yang dikendalikan kementeriannya memerlukan kapasiti bangunan, sumber tenaga kerja, konsultan yang mahir untuk menjayakan segala perancangan dan pelaksanaan projek-projek terbabit.
“Di Sarawak tidak pernah kita mengadakan projek ataupun melakukan projek yang begitu banyak sekali sebelum ini jika dibandingkan di dalam siri rancangan Malaysia yang lepas.
“Tapi kali ini dengan kaedah baharu, pelaksanaan projek kita begitu banyak sekali, diadakan di seluruh Sarawak, dalam pembangunan infrastruktur, projek-projek baharu yang di bawah koridor-koridor baharu dan pelbagai projek-projek rancangan Malaysia dan projek-projek lain dalam lingkungan RM40 bilion hingga RM50 bilion jumlah kos projek,” katanya ketika ditemui TVS pada lawatan kerjanya ke tapak Projek Pembinaan Jambatan Sungai Limbang, hari ini.
Turut sama ialah Residen Limbang, Yunus Tambi dan Pemangku Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang, Mahathir Jokeni.
Beliau berkata, kementeriannya turut mengenal pasti terdapat banyak projek sakit dan mengalami kelewatan di negeri ini yang terpaksa di tamatkan kontrak kerana kontraktor tidak mampu lagi meneruskan projek berkenaan.
“Ada beberapa projek-projek sakit ataupun projek-projek yang mengalami kelewatan yang begitu banyak dan terpaksa kita tamatkan kontrak kerana kontraktor tidak mampu lagi meneruskan projek-projek sakit di negeri ini.
“Bagi projek-projek sakit yang dalam lingkungan bawah 20 peratus kita mengadakan pemantauan mingguan dan pemantauan mesyuarat untuk mengenal pasti punca-punca selain melakukan beberapa campur tangan untuk memastikan kontraktor melaksanakan projek dengan kadar lebih cepat lagi bersama dengan agensi-agensi pelaksana,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai pembinaan Jambatan Sungai Limbang beliau berkata, projek berkenaan turut mengalami kelewatan sebanyak 32 peratus iaitu hanya 55 peratus perkembangan berbanding jadual pelaksanaan 88 peratus.
Projek yang menelan kos RM187 juta ini dijangka siap mengikut jadual pada tahun hadapan hasil daripada komitmen daripada pihak pemaju dan kontraktor yang diamanahkan untuk menyiapkan jambatan berkenaan. -TVS