JAKARTA, 21 Feb: Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasmi mengunjungi rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto.
Sejurus ketibaannya di kompleks pejabat Kementerian Pertahanan Indonesia, delegasi disambut dengan tabik hormat dan lagu kebangsaan kedua-dua negara.
Mesyuarat dilanjutkan dengan membincangkan komitmen kerjasama produktif dalam bidang pertahanan, iaitu kerjasama sempadan, kerjasama industri pertahanan dan aktiviti ketenteraan khususnya latihan pertukaran anggota.
Dalam satu kenyataan, kedua-dua negara juga komited untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan secara konstruktif dan progresif.
Hubungan pertahanan juga telah diperkukuh melalui inisiatif Sub-Rantau iaitu Melaka Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangements (TCA).
Kedua-dua menteri yakin bahawa kerjasama yang kukuh akan memastikan pelaksanaan yang berkesan bagi semua aktiviti yang akan datang.
Difahamkan Angkatan Tentara Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan melakukan latihan bersama pada Mac nanti dalam Latihan Gabungan Bersama (LATGABMA) Malindo.
Diplomasi pertahanan di rantau ini adalah selaras dalam strategi pertahanan negara bagi memastikan Malaysia terus menyumbang kepada pembangunan dan kestabilan serantau.
Menteri Pertahanan turut diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang, Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan wakil ATM.-TVS