KUALA LUMPUR, 21 Feb: Kerajaan telah menetapkan sasaran jangka masa sederhana dan panjang, untuk meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Diperbaharui.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, dalam merealisasikan agenda peralihan tenaga kerajaan mensasarkan pembekalan elektrik negara daripada 24 peratus kepada 31peratus pada tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035.
“Bagi mencapai kedua-dua sasaran ini, langkah-langkah strategik yang perlu dilaksanakan telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER). Penetapan langkah strategik peralihan tenaga di bawah MyRER ini, telah mengambil kira faktor kemampuan rakyat bagi memastikan supaya proses peralihan ini tidak membebankan rakyat.
“Selain itu, faktor daya harap sistem bekalan elektrik, serta kemampanan alam sekitar juga turut diberikan keutamaan dalam penetapan usaha peralihan tenaga yang ditetapkan ini,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menurut Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei, langkah-langkah strategik MyRER yang diperkenalkan dan sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran pembangunan TBB negara.
“Ini termasuk membangunkan program dan inisiatif khas bagi meningkatkan penyertaan industri tempatan dalam penjanaan dan pembelian bekalan elektrik hijau melalui program seperti Feed-in Tariff (FiT) yang menyediakan kadar tarif premium sebagai galakan untuk pembangunan loji jana kuasa TBB untuk sumber bukan solar, Net Energy Metering (NEM) yang membolehkan pengguna menjana bekalan elektrik sendiri melalui pemasangan sistem solar di bumbung bangunan masing-masing.
“Selain itu ia juga mengurangkan kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber arang batu secara berperingkat dan menggantikan kapasiti tersebut dengan sumber penjanaan TBB dan sumber rendah karbon,” katanya. -TVS