Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto: Bernama

Kembara Agong kembalikan nostalgia lawatan Almarhum Sultan Johor di Kapit pada 1970-an

ByYusuf Shukri

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Kembara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sarawak pada September nanti bakal merealisasikan semula lawatan Permaisuri Agong ke Pusat Tenunan di Hulu Rajang yang tergendala akibat pandemik COVID-19.

Selain itu, menurut Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, kembara tersebut juga merupakan saat yang dinanti-nantikan rakyat jelata di kawasannya itu kerana kali terakhir lawatan Diraja dibuat adalah pada tahun 1970-an, iaitu lawatan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan berasa bangga apabila mendengar sendiri Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Parlimen ke-15 ini telah mengatakan bahawa kembara tuanku ke negeri Sarawak dan juga Sabah pada bulan September 2023.

“Jadi dengan rasa rendah diri sebagai Ahli Parlimen, saya memohon supaya perjalanan Yang di-Pertuan Agong ini terus pergi ke pekan Kapit, kerana kalau tidak silap saya sekitar tahun 1970-an Almarhum Sultan Johor ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong telah datang dan melawat ke pekan Kapit,” katanya yang ditemui TVS di sini, hari ini.

Tambah Wilson yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), beliau benar-benar berharap Raja Permaisuri Agong dapat mengikuti jejak Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan melawat Pusat Tenunan Pua Kumbu di Sungai Kain.

“Jadi inilah satu sejarah, saya berharap jika Yang di-Pertuan Agong mahu mengikut jejak ayahanda Raja Permaisuri Agong, pergilah ke pekan Kapit.

“Satu lagi kalau tidak silap dan tidak lupa, Raja Permaisuri Agong juga hendak melawat ke Kapit pada tahun 2020 tetapi atas sebab COVID-19 yang melanda negara maka lawatan Raja Permaisuri Agong tidak jadi kerana pandemik tersebut.

“Jadi patik memohon Yang di-Pertuan Agong datanglah ke kawasan tempat yang hendak Raja Permaisuri lawat iaitu Rumah Garik, Sungai Kain yang merupakan Pusat Industri Kraftangan atau Tenunan Pua Kumbu yang tradisional.

“Jadi patik mohon Yang di-Pertuan Agong datang walaupun sekejap asalkan impian rakyat di Hulu Rajang tercapai,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan