SIBU, 21 Feb: Seorang mekanik dan seorang pelajar kerugian lebih RM4,000 akibat diperdaya penjual peti sejuk melalui aplikasi media sosial.
Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 30-an telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi whatsapp yang meminta mereka membuat pembayaran ke akaun yang diberikan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa telah bersetuju untuk membeli peti sejuk dan membuat pembayaran ke atas akaun tersebut.
“Namun suspek telah bertindak menyekat panggilan mereka setelah pembayaran keseluruhan berjumlah RM4, 250 dilakukan.
“Menyedari tindakan suspek itu, kedua-mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu pada jam 5.53 petang semalam,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Zulkipli menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya ketika melakukan transaksi pembelian ‘online’.
“Gunakan platform jualan yang sah bagi memastikan hak anda selaku pembeli sentiasa dilindungi dan jangan mudah membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan daripada penjual,” tegasnya.
Orang ramai boleh membuat semakan dengan balai polis terdekat atau membuat semakan di http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03- 26101559/03-26101599, Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ditalian 997. -TVS