KUCHING, 21 Feb: Taman Rekreasi berkonsepkan ‘Fun Learn At The Playground’ bakal dibina dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Holdings Sdn Bhd.
Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia Unimas, Amalia Madihie berkata, konsep taman tersebut menekankan aspek pembinaan manusia serta jati diri secara fizikal tanpa meninggalkan teknologi digital.
“Projek pembinaan taman rekreasi tersebut merupakan projek perintis bagi kedua pihak yang terlibat dan perancangan bagi projek tersebut telahpun bermula sejak tahun 2020 namun terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.
“Jadi program ini sebenarnya sudah lama tapi sekarang ini kita perlukan pelaksanaan. Jadi untuk memulakannya seperti dalam Memorandum Perjanjian (MoU) kita. Dalam tahun pertama MoU, kita akan usaha untuk mencari dana dan berharap pelabur yang bersama kita dapat menghulurkan dana tersebut dalam tahun pertama untuk membangunkan serta membina taman permainan pendidikan ini,” ujar Amalia.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pemeteraian MoU antara DBKU dan Unimas Holdings Sdn Bhd yang disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Old Courthouse Kuching, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah DBKU, Mohamed Khaidir Abang, Pengurus Besar Unimas Holding Sdn Bhd, Dr Abang Ekhsan Abang Othman, Pengerusi Interim Unimas Holding Sdn Bhd, Datu Mohd Fadzil Abd Rahman dan Ketua Projek Profesor Madya Dr Zaiton Hassan.
Amalia berkata, anggaran bagi kos keseluruhan pembinaan taman tersebut adalah sebanyak RM2 juta.
“Kita memerlukan anggaran sebanyak RM2 juta. RM1 juta adalah untuk pembinaan taman tersebut manakala RM 1 juta lagi atau RM500,000 diperlukan untuk bahagian operasi. Itu perancangan kami,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut berharap agar projek itu dapat disiapkan dalam tahun kedua dari pemeteraian MoU tersebut.
Untuk rekod, projek tersebut akan dijalankan di kawasan lapang di Lot 13094, Section 65, KTLD, Taman Heritage Petra Jaya Kuching.
Projek itu juga merupakan antara inisiatif DBKU untuk mencantikkan bandaraya Kuching di bawah pelan tindakan Clean, Beautiful, Safe, Smart and Sustainable (CBSSS).
Setakat ini, sebanyak 4 MoU telah dimeterai DBKU dengan pelbagai pihak atau agensi tempatan di bawah inisiatif yang sama. – TVS