LIMBANG, 21 Feb: Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo berharap agar sektor-sektor yang memberi impak untuk rakyat dapat diberi tumpuan Kerajaan Perpaduan dalam intipati pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.
Jelasnya, ia melibatkan peruntukan untuk infrastruktur, perumahan, dan sektor ekonomi.
Beliau turut optimis Bajet 2023 yang akan dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan saja memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat dan kumpulan masyarakat tetapi tidak akan meminggirkan mana-mana pihak terutama keperluan Sarawak.
Malah katanya Perdana Menteri juga dijangka akan memperkenalkan beberapa strategi-strategi baharu untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dalam memacu ekonomi Malaysia ke tahap lebih baik.
“Sudah tentulah kita berharap supaya sektor-sektor yang bagus untuk rakyat seperti infastruktur, perumahan-perumahan, kementerian apa lagi ekonomi dapat diberi lebih tumpuan.
“ Saya juga tidaklah begitu mengharapkan sangat daripada bajet Kerajaan Persekutuan pada kali ini kerana komposisi-komposisi ataupun halangan-halangan tertentu di peringkat persekutuan kerana mereka baharu bermula, namun beberapa strategi-strategi baharu sudah tentu diperkenalkan Kerajaan Perpaduan untuk melakukan perubahan,” katanya katanya ketika ditemui TVS pada lawatan kerjanya ke tapak Projek Pembinaan Jambatan Sungai Limbang, Bahagian Limbang hari ini.
Turut sama ialah Residen Limbang, Yunus Tambi dan Pemangku Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang, Mahathir Jokeni.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula tidak akan terikat dengan perkara yang dibentang oleh kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Bajet 2023 yang baharu. – TVS