KUALA NERANG, 20 Feb: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar kira-kira 830 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran melalui sempadan darat gagal apabila dia ditahan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Ladang Seraya Durian Burung di sini, semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, penahanan suspek bersama barang seludup berkenaan dibuat di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia kira-kira jam 10.45 malam.
“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan beroperasi telah mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang warga tempatan yang cuba menyeludup barangan itu ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar kenyataan itu lagi, pasukan operasi turut merampas 83 beg plastik berisi daun ketum seberat 830 kg, sebuah kenderaan SUV, motosikal jenis Honda Wave, telefon bimbit dan sejumlah wang bernilai RM 77,162.
“Orang awam yang ditahan beserta barang rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan beroperasi juga akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di kawasan sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan seperti ini,” kata kenyataan itu lagi. -TVS