KUALA LUMPUR, 20 Feb: Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) bakal diperkenalkan di Petra Jaya sebagai solusi jangka masa panjang kepada masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengenalan kepada sistem tersebut dapat dijayakan dengan kerjasama antara tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
“Penggunaan ITS bukan sahaja boleh membantu mengurangkan kesesakan jalan raya tetapi juga dapat menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai.
“Oleh itu, saya harap perkara ini dapat direalisasikan melalui kerjasama pihak DBKU, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, ini adalah harapan saya,” kata Fadilah dalam temubual bersama TVS di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, sistem pengangkutan pintar tersebut perlu diintegrasi dengan kawasan Bandar Kuching merentasi Kuching Selatan dan sekitarnya.
“Walaupun perkara ini sudahpun kita bincang sejak saya berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya, saya harap akan ada peruntukan khas di dalam bajet yang akan dibentangkan bagi menangani masalah kesesakan di Petra Jaya,” jelasnya.
Tambahnya, antara perkara lain yang menjadi permasalahan di Petra Jaya yang akan ditangani termasuk isu kekurangan rumah mampu milik dan peluang pekerjaan bagi graduan. – TVS