Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin. Foto: Facebook Dato Sri Lee Kim Shin

Masih perlu pamer cukai jalan, lesen memandu fizikal di negara Brunei dan Indonesia

MIRI, 20 Feb: Pemandu kenderaan Sarawak masih perlu mematuhi undang-undang negara Brunei Darussalam dan Indonesia apabila melintasi sempadan kedua-dua negara tersebut.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, cukai jalan masih perlu dipamerkan dan lesen memandu fizikal perlu dibawa apabila memasuki Brunei Darussalam dan Indonesia.

“Bagi kenderaan Sarawak yang melintasi sempadan Sarawak ke Brunei Darussalam atau Kalimantan Barat, pemandu mesti mematuhi undang-undang dan peraturan negara tersebut. Kedua-dua negara Brunei Darussalam dan Indonesia mengekalkan prosedur biasa yang mana cukai jalan fizikal perlu dipamerkan pada kenderaan mereka dan membawa lesen memandu fizikal apabila memasuki Brunei Darussalam dan Indonesia.

“Kementerian saya akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Konsul Negara Brunei Darussalam dan Pejabat Konsul Agung Indonesia di Kuching mengenai perkara itu dan juga membawanya dalam Mesyuarat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 10 Februari lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi memerlukan pemandu untuk membawa salinan fizikal lesen memandu mereka dan tidak perlu memaparkan cukai jalan pada cermin depan kenderaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik kerana setiap pemilik kenderaan diberi masa untuk mengadaptasi dengan kaedah digital dan Kementerian Pengangkutan Malaysia mengingatkan pemandu masih boleh mendapatkan salinan fizikal cukai buat masa ini.

“Orang ramai tidak perlu panik kerana pada peringkat awal ini semua pemilik kenderaan persendirian diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem digital. Pemandu masih boleh mendapatkan salinan fizikal cukai jalan mereka dari pejabat JPJ atau Pejabat Pos dan melekatkannya pada kereta serta membawa lesen memandu fizikal buat masa ini,” katanya.

Semua pemandu di Sarawak perlu mengambil perhatian bahawa ini adalah fasa pertama inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia dan JPJ untuk menggalakkan pemandu dan pemilik kenderaan beralih kepada platform digital untuk membantu mengurangkan barisan panjang di kaunter JPJ.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyJPJ dari Apple App Store atau Google PlayStore atau Galeri Aplikasi Huawei.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan