KUCHING, 20 Feb: Sarawak dipilih menjadi lokasi pusingan ketiga bagi Kejohanan Jelajah Tenis Wanita Dunia W15, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) anjuran Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) yang akan berlangsung bermula 28 Februari hingga 5 Mac depan, di sini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 65 orang pemain tenis antarabangsa dari 21 buah negara bakal berentap dalam kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah 15,000 dolar Amerika (USD).
“Kejohanan ini diadakan dalam tiga pusingan. Pusingan pertama diadakan di Ipoh, yang kedua diadakan di Kuala Lumpur dan yang ketiga akan diadakan di Kuching.
“Kita amat berbangga kerana mempunyai barisan pemain yang kuat bagi kejohanan kali ini dan tahap bakat serta daya saing yang dibawa ke sini sememangnya luar biasa,” katanya pada sidang media Jelajah Tenis Wanita Dunia W15, ITF di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Tambahnya, antara negara yang turut serta pada kejohanan kali ini termasuk Australia, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Korea, Madagascar, Filipina, Rusia, Singapura, Sepanyol, Sri Lanka, Switzerland, Taiwan, Ukraine dan Amerika Syarikat.
Dalam kejohanan itu, Malaysia bakal menampilkan tiga pemain tenis wanita negara, iaitu, Elysia Wan, Jo-Leen Saw dan Shihomi Li Xuan Leong.
Pada masa sama, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, penganjuran kejohanan tersebut secara tidak langsung dapat mempromosi sektor pelancongan Sarawak.
“Mereka mungkin akan meluangkan masa merasai produk makanan kita dan pergi ke beberapa kawasan pelancongan di sini.
“Kini dengan adanya media sosial, mereka akan memberitahu keluarga dan rakan-rakan lain, di mana mereka kini berada di tempat yang dikenali sebagai Kuching, di Pulau Borneo. Itu adalah salah satu strategi pemasaran untuk kita,” ujarnya.-TVS