MIRI, 20 Feb: Jalan akses Vista Perdana bagi memudahkan orang ramai yang datang dari bandaraya Miri ke Vista Perdana telah siap dibina baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, jalan itu merupakan langkah sementara untuk penduduk Vista Perdana sementara menunggu Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) siap dibina.
“Jalan itu telah siap bagi memudahkan semua orang dari Vista Perdana yang datang dari arah bandar Miri iaitu dari lampu isyarat, mereka boleh membuat selekoh untuk pulang ke Vista Perdana melalui jalan penghubung ini, daripada ke lampu isyarat Permyjaya yang kira-kira dua kilometer (km) hingga tiga km jauh untuk kembali.
“Ini untuk kemudahan penduduk Vista Perdana tetapi ia adalah langkah sementara. Kita tunggu Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) siap barulah ada jalan keluar masuk yang betul. Jadi ini untuk membantu dan langkah sementara penduduk Vista Perdana untuk mereka pulang dari arah bandar Miri,” katanya ditemui ketika lawatan tapak ke jalan akses Vista Perdana hari ini.
Beliau berkata, jalan dari Lorong Permata 4A/2 di Vista Perdana mungkin akan ditutup atas faktor keselamatan pemandu berdasarkan kajian trafik Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Jalan ini, anda hanya pergi sehala, anda perlu masuk tetapi anda tidak boleh keluar. Ada tiga lagi simpang yang boleh mereka keluar tetapi untuk tiga simpang yang lain, dari maklum balas JKR dari kajian trafik, untuk Vista Perdana mereka boleh keluar dari Lorong Perak dan Lorong Permata 4. Sekarang Lorong Permata 4A/2 agak dekat dengan lampu isyarat dan ini adalah bahaya sebab apabila keluar, terus ke lampu isyarat untuk buat pusingan U.
“Jadi JKR mencadangkan bahawa kita mungkin terpaksa menutup pintu keluar supaya mereka boleh masuk tetapi mereka tidak boleh keluar dari sini untuk tujuan keselamatan. Mereka boleh masuk sepanjang jalan dari Permy hingga ke bawah dan balik, tetapi keluar, mereka perlu keluar ke Lorong Permata 4, yang jaraknya hanya kurang 200 meter. Ini adalah persimpangan yang lebih selamat untuk mereka keluar,” katanya lagi.
Jalan akses Vista Perdana telah dibina sejak tahun lepas oleh JKR bersama Naim Cendera Sdn Bhd, projek itu merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Naim Cendera dan telah menelan kos sekitar RM150,000.-TVS