Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Antara Yayasan SeMalaysia (PESAYA) ke-14 di sini, hari ini. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Abang Johari jelaskan faktor Sarawak iktiraf UEC

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 20 Feb: Kerajaan Sarawak akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana polisi berkenaan memberi manfaat kepada anak Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu menjelaskan, langkah itu juga disebabkan Sekolah Vernakular Cina mempunyai piawaian yang tinggi terutama dalam subjek Matematik.

“Banyak rakan-rakan kita persoalkan kenapa Sarawak mengiktiraf UEC.

“Sebenarnya kita iktiraf sijil peperiksaan itu beserta beberapa syarat yang ditetapkan termasuk pelajar mesti mendapat kredit dalam subjek Bahasa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri SeMalaysia (PESAYA) ke-14, di sini malam tadi.

Sementara itu Abang Johari menambah, pengiktirafan kepada UEC turut membuka peluang bagi pelajar bukan berbangsa Cina untuk mempelajari bahasa Mandarin.

“Memandangkan kita mempunyai dasar ekonomi terbuka, anak-anak kita yang memahami bahasa Mandarin akan mendapat kelebihan kerana mereka akan faham apa yang dibincangkan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara lain, Abang Johari memberitahu bahawa universiti milik Kerajaan Sarawak bukan hanya untuk rakyat Sarawak sahaja sebaliknya turut dibuka kepada pelajar dari seluruh negara.

Katanya, Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Sabah dan Semenanjung Malaysia namun harus menghormati serta memahami pendirian Sarawak terhadap penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“Kita di Sarawak mempunyai tekanan berhubung aspek bahasa. Bahasa Malaysia adalah wajib, begitu juga dengan Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Kerajaan Sarawak memiliki sepenuhnya empat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan satu pusat latihan bagi menggalakkan generasi muda menimba ilmu demi kemajuan negeri pada masa hadapan.

Ia merangkumi Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Curtin University Malaysia Miri dan Kolej Universiti i-CATS (iCats).

Sarawak turut memiliki Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan