KUCHING, 19 Feb: Penjaga gol Kuching City FC, Shaiful Wazizi Mohamad bersedia untuk menjadi benteng terakhir pasukannya pada saingan Liga Super 2023.
Bakal membuat penampilan sulung pada saingan liga elit Malaysia, penjaga gawang berusia 25 tahun itu berkata, dia akan memberikan aksi terbaik bagi memikat jurulatih dan seterusnya disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Katanya lagi, beliau yakin skuad The Cat mampu memberikan saingan sengit pada pasukan lain berdasarkan persiapan rapi dilakukan termasuk mengharungi aksi persahabatan di Kemboja baru-baru ini.
“Menjelang perlawanan sulung menentang Kelantan FC di tempat lawan pada 25 Februari ini, barisan kejurulatihan ketika ini sedang memperbaiki beberapa kelemahan dalam usaha kami untuk membawa pulang mata,” katanya kepada TVS semasa pelancaran jersi pasukan itu kelmarin.
Sementara itu, Saiful Wazizi akur beliau akan berdepan saingan sengit daripada tiga lagi penjaga gol Kuching City FC untuk diturunkan beraksi.
“Saya akui tahun ini persaingan lebih hebat kerana pasukan mempunyai dua penjaga gol yang berpengalaman serta seorang penjaga gol import.
“Namun saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik bagi membuktikan kemampuan saya,” katanya.
Kuching City FC pada musim ini berjaya mengikat bekas penjaga gol kebangsaan, Norazlan Razali selain mengekalkan Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
Turut berada dalam senarai ialah pemain kelahiran England, Julian Garcia Schwarzer yang juga penjaga gol kebangsaan Filipina.
Sementara itu, pemain tengah, Mohamad Alif Hassan berkata, mereka akan berusaha untuk membawa sekurang-kurangnya satu mata apabila bertandang ke Kota Bharu walaupun menyedari saingan sengit bakal diterima.
“Tekanan itu semestinya wujud apabila berdepan Kelantan kerana kita tahu mereka mempunyai penyokong yang ramai.
“Namun untuk perlawanan sulung ini, kami akan berusaha untuk membawa mata penuh atau sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.
Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu sebelum ini mencatat sejarah apabila layak beraksi secara merit pada Liga Super.
Pasukan itu turut menyasarkan untuk berada pada kelompok lima teratas liga musim ini. -TVS