BINTULU, 19 Feb: Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee tampil memberi sokongan moral apabila menghadiri majlis solat hajat yang diadakan semalam.
Majlis anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu itu menyaksikan hampir 400 calon dari beberapa sekolah menengah daerah itu hadir.
Dr. Annuar berkata, beliau berharap bakal calon akan memberikan yang terbaik pada peperiksaan berkenaan dan seterusnya merebut peluang melanjutkan pengajian ke universiti termasuk yang diasaskan oleh Kerajaan Sarawak.
“Kepada pelajar-pelajar sekalian, Kerajaan Sarawak sangat mementingkan pendidikan.
“Kita mempunyai tiga buah universiti di sini iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu serta Curtin University Malaysia Miri yang mana kerajaan negeri mempunyai kepentingan di universiti – universiti berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Mengulas lanjut, Dr. Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan Yayasan Sarawak supaya dapat memberi manfaat kepada pelajar negeri ini mendapat bantuan untuk melanjutkan pengajian mereka.
Sementara itu, beliau turut berpesan kepada calon supaya memohon restu daripada ibu bapa masing – masing sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
“Mintalah keizinan daripada guru dan juga ibu bapa agar dipermudahkan segala urusan dalam SPM,” katanya.
Seramai 403,637 calon akan menduduki SPM 2022 yang bermula esok di 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara. – TVS