SIBU, 17 Feb: Seorang lelaki tempatan di sini yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah seolah – olah tidak pernah serik apabila ditahan kali yang ke-19 petang semalam.
Kali ini, suspek yang berusia 32 tahun ditahan bersama dadah seberat 129.59 gram yang dianggarkan bernilai RM12,959.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan suspek selepas menyerbu sebuah rumah di Lorong Ek Dee, dekat sini sekitar pukul 7.10 malam.
Semasa serbuan katanya, polis menemui dadah jenis methamphatamine serta satu unit mesin pengedap plastik.
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Merah untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dan pernah 18 kali ditahan sebelum ini,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Sekysen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama enam hari. -TVS