Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Dr Stephen Rundi Atom melihat BSF semasa lawatan tapak di Kilang Mega BSF, Rantau Panjang di Sibu semalam. Foto: TVS.

Ternak BSF, minimum kebergantungan makanan haiwan import

SIBU, 18 Feb: Serangga lalat askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF) boleh menjadi makanan alternatif bagi haiwan ternakan agar meminimumkan kebergantungan terhadap makanan haiwan import.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Atom berkata penternakan BSF juga mampu mengurangkan isu jaminan makanan yang perlu diperluaskan lagi.

Jelas beliau lagi, kebergantungan penternak tempatan kepada bahan mentah dari negara luar menyebabkan harga pasaran daging ayam meningkat.

“Kami mempunyai banyak isu mengenai kebergantungan pada pengimportan bahan mentah dari luar negara. Oleh itu, kami ditugaskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mencipta makanan haiwan daripada sisa dan kelapa sawit.

“Sekarang, mungkin kita memerlukan kombinasi BSF untuk menambah asid amino dan sebagainya ke dalam makanan haiwan. Ini adalah supaya kita dapat menggunakannya untuk menghasilkan makanan haiwan dan saya rasa kita mempunyai masa depan yang baik melalui pertanian BSF,” katanya ketika ditemui TVS selepas lawatan tapak di Kilang Mega BSF, Rantau Panjang di Sibu pada Jumaat.

Dato Sri Dr Stephen Rundi Atom bergambar bersama selepas selesai melawat Kilang Mega BSF, Rantau Panjang di Sibu semalam. Foto: TVS.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu lagi, agensi seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) juga mampu untuk mengembangkan lagi pertanian BSF pada masa depan.

Ketika ditanya mengenai cabaran dalam mengembangkan lagi perladangan BSF di seluruh negeri, beliau berkata terdapat dua cabaran utama iaitu teknologi dan usahawan yang bersedia untuk menceburi industri perladangan BSF.

“Kami bersyukur boleh melawat Kilang Mega BSF ini. Mungkin di setiap bahagian kami boleh membuat beberapa lagi penambahbaikan supaya dari segi logistik, kami boleh mengurangkan harga.

“Selain itu, saya berfikir untuk graduan, mereka akan lebih bermotivasi apabila mereka melihat pulangan yang baik. Jadi, cabarannya ialah mengubah minda rakyat untuk merealisasikan impian sektor pertanian di Sarawak,” katanya lagi.

Beliau berharap lebih ramai anak muda berkecimpung dalam industri tersebut sekali gus menyelesaikan isu keselamatan makanan di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan