Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Gerawat (baju putih) semasa sesi bergambar bersama tetamu kehormat lain. Foto: TVS

Rakyat Sarawak diutamakan isi peluang pekerjaan – Gerawat Gala

MIRI, 18 Feb: Peluang pekerjaan di Sarawak akan diberi keutamaan kepada rakyat Sarawak terlebih dahulu sebagai cara melindungi hak pekerjaan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selari dengan slogan ‘Sarawak First’.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, autonomi ke atas imigresen bagi mengawal kemasukan pekerja dari luar Sarawak merupakan langkah yang diambil supaya pasaran pekerjaan di negeri ini dipenuhi dengan rakyat Sarawak.

Datuk Gerawat (tengah)  menyaksikan MoU antara Pengerusi SOGWA, Jamal Abdullah dan Pengarah Seamaster, Kenneth Khoo.
Foto: TVS

“Memang tugas kementerian saya untuk menjaga pekerja-pekerja kita di Sarawak ini. Sudah tentu kita kata ‘Sarawak First is Sarawak First’. Kita memberi keutamaan kepada pekerja-pekerja daripada rakyat Sarawak. Itulah sebab mengapa kita ada dalam MA63, Sabah dan Sarawak berkehendak dan menuntut  autonomi ke atas imigresen untuk mengawal kemasukan mereka di luar Sabah dan Sarawak kerana pada tahun 1963 berbanding Malaysia Barat, kita masih kurang maju.

“Autonomi imigresen ini diberikan supaya kita dapat mengawal pasaran pekerjaan di Sabah dan Sarawak dan tidak dibanjiri oleh jiran kita dari Semenanjung. Kita masih mengekalkan autonomi itu dan Kementerian saya diamanahkan untuk menjaga portfolio ini,” katanya.

Datuk Gerawat (baju putih)  melancarkan gimik perasmian. Foto: TVS

Beliau berkata demikian ketika Program Ekspo Kerjaya Persatuan Pekerja Minyak dan Gas Sarawak (SOGWA) 2023 DI MYY Mall Lutong di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, bagi melindungi hak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, keutamaan akan diberikan kepada rakyat Sarawak yang berkelayakan dan tersedia terlebih dahulu dan permit kerja hanya diberikan kepada pekerja luar Sarawak sekiranya majikan tidak dapat merekrut pekerja dalam kalangan rakyat Sarawak atas sebab-sebab tertentu.

Gerawat juga menyedari kepentingan dan keperluan pelabur luar untuk membawa masuk ekspatriat dan pekerja berkemahiran tinggi mereka ke negeri Sarawak bagi melatih pekerja rakyat Sarawak sekali gus mencipta pekerjaan baharu untuk rakyat Sarawak dalam jangka masa yang panjang.

“Untuk pelabur membuat pelaburan di sini, mereka juga perlu membawa masuk kemahiran tertentu, pekerja berkemahiran profesional.  Kerja-kerja yang boleh dibuat oleh penduduk tempatan, kita memberitahu mereka perlu menggunakan pekerja tempatan. Di sini, apabila pelabur membawa masuk ekspatriat, kita ada tempoh.

“Kini kita akan membenarkan sehingga lima tahun untuk pekerja mahir yang sangat khusus dalam teknologi digital dan teknologi tenaga hijau. Maksimum lima tahun, tetapi biasanya kita beri 1-2 tahun. Dalam masa beberapa minggu kita akan memastikan syarikat itu mempunyai rancangan penggantian untuk melatih rakyat Sarawak tempatan kita untuk mengambil alih.

“Jadi inilah yang saya panggil penciptaan pekerjaan. Kita ada pekerjaan baru. Pekerjaan baharu dan pekerjaan bergaji tinggi. Ini adalah fungsi kementerian saya, kita melindungi pekerjaan untuk rakyat Sarawak tetapi pada masa yang sama, kita juga mewujudkan pekerjaan baharu dan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Sarawak pada masa depan,” jelas beliau.

Pada program tersebut, Gerawat telah menyumbang bantuan geran sebanyak RM15,000 kepada SOGWA untuk program-program yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) antara SOGWA bersama Sealestial Marine Seafarer Training Centre Sdn. Bhd (Seamaster) telah termeterai pada program ini.

Ekspo Kerjaya SOGWA diadakan selama dua hari mulai hari ini sehingga esok di MYY Mall Lutong sebagai platform bagi memberi peluang kepada pekerja-pekerja serta anak-anak Sarawak yang belajar di dalam industri minyak dan gas untuk mengisi kekosongan khususnya di dalam projek-projek di perairan Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan