KUCHING, 18 Feb: Skuad PFA Odin Sarawak memulakan saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2023 dengan langkah kiri apabila tewas kepada pasukan gergasi, Selangor MAC 1-5 hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Panasonic Shah Alam itu menyaksikan pasukan kendalian Mohd Faizal Zamri itu diasak pasukan lawan sejak awal permainan bermula.
Gawang PFA Odin dibolosi seawal minit ke-6 perlawanan menerusi jaringan pemain import lawan, Matheus Vasconcelos Silva, sebelum jaringan kedua dihasilkan oleh Aidil Shahril Rosli selang 14 minit kemudian.
Memasuki babak kedua, tersentak dengan dua gol tersebut, PFA Odin cuba merapatkan jurang menerusi beberapa gerakan daripada Azfar Nur Azli, namun beberapa peluang terhidang di hadapan pintu gol lawan gagal disempurnakan dengan baik.
Skuad yang berpangkalan di Kuching itu terus malang apabila Selangor MAC terus merobek gawang gol mereka menerusi jaringan Aidil Izwan Mazlan dan Bukhari Samsudin, masing-masing pada minit ke-30 dan ke-32.
PFA Odin berjaya mengurangkan defisit gol menerusi jaringan Georgi Kinkladze Tom pada minit ke-33 yang seterusnya menyuntik moral para pemain untuk terus merapatkan jurang jaringan.
Namun begitu, selang empat minit kemudian, gawang PFA Odin sekali lagi dibolosi apabila Wan Nur Azhar Wan Ahmad tertolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-37 untuk kedudukan 5-1 dan ia kekal hingga tamat masa permainan.
Selepas ini, PFA Odin dijadual akan menentang pasukan Kuala Lumpur City FC pada minggu kedua MPFL 2023 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching pada 5 Mac depan.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertama PFA Odin dalam kancah MPFL yang menyaksikan pasukan itu diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama dengan Selangor MAC, Selangor TOT United, Shah Alam City, Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim.- TVS