Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) Datuk Mohd Dusuki Ya’acob. Foto: Bernama

Klasifikasi filem baharu buka ruang hasilkan karya kreatif, selari peredaran zaman

ByBernama

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Pengenalan Klasifikasi Filem 2023 yang baharu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Lembaga Penapis Filem (LPF), membuka ruang kepada penggiat industri tempatan menghasilkan karya yang lebih kreatif, selari dengan perubahan masa dan teknologi agar tidak ketinggalan.

Pelakon, pengarah dan penerbit Aziz M Osman berkata perubahan yang dibuat itu, adalah mengikut zaman namun masih mengekalkan konsep sama, iaitu menjaga masyarakat terutama di bawah umur daripada didedahkan kepada unsur-unsur yang tidak sihat.

“Pengenalan klasifikasi baharu seperti ‘P12’, ‘13’ dan ‘16’, jelas melindungi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun, daripada terdedah dengan kandungan filem yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka.

“Ini bukanlah untuk pengkarya semata-mata, tetapi juga masyarakat terutama ibu bapa dalam memastikan generasi muda ini, tidak didedahkan dengan benda yang boleh merosakkan pemikiran dan tingkah laku anak-anak mereka,” katanya kepada Bernama.

Aziz merupakan antara lebih 100 penggiat industri kreatif tempatan yang hadir pada sesi Taklimat LPF Berkenaan Dengan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023, baru-baru ini, bagi mendengar lebih lanjut mengenai pelaksanaannya, yang berkuat kuasa sejak 1 Feb.

Pada 1 Feb, KDN melalui LPF menetapkan lima pengelasan atau Klasifikasi Filem 2023 yang baharu, iaitu klasifikasi ‘U’ bagi penonton semua peringkat umur, ‘P12’ bagi penonton semua peringkat umur dan bimbingan ibu bapa diperlukan bagi penonton berumur di bawah 12 tahun, ‘13’ bagi penonton berumur 13 tahun ke atas, ‘16’ bagi penonton berumur 16 tahun ke atas dan ‘18’ bagi penonton 18 tahun ke atas.

Bagaimanapun, Aziz yang juga pemilik Ace Motion Pictures Sdn Bhd itu tetap optimis dalam soal berkarya, dan menyifatkan keterbatasan itu sebagai peluang kepada pengkarya untuk menjadi lebih kreatif.

“Selalunya karyawan dimanjakan dengan benda lumrah, jika adegan bercinta, perlu berpegang tangan atau berpelukan. Tetapi apabila ada batasan, kita akan cuba mencari alternatif, yang kadang-kadang dilihat lebih original dan baik,” katanya yang mengambil contoh industri filem di Iran yang mengamalkan peraturan ketat, namun berjaya mendapat perhatian dunia sehingga memenangi pelbagai anugerah antarabangsa.

Turut senada, pengarah dan penerbit popular Datuk Yusof Haslam, yang berpandangan satu daripada prinsip utama langkah tersebut ialah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutama ibu bapa, dalam memastikan generasi muda tidak didedahkan dengan perkara negatif.

“Pertambahan klasifikasi ‘16’ sebenarnya banyak membantu pengusaha filem dan ini satu langkah yang baik dari LPF, demi kepentingan dan kebaikan semua pihak,” katanya.

Pemilik Skop Productions Sdn Bhd ini turut berpendapat, LPF semakin terbuka dalam mendengar pandangan penggiat industri kreatif negara.

“Saya lihat masih ada pertimbangan yang diberi dan jika ada masalah penggiat seni masih berpeluang untuk berjumpa dan berbincang. Ini satu langkah yang baik, dalam usaha memahami apa yang berlaku dalam industri hari ini, terutamanya di dunia digital dan global yang terbuka luas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LPF Datuk Mohd Dusuki Ya’acob berkata kajian mengenai pindaan klasifikasi filem yang baharu itu telah dibuat sejak 2019, selepas mendapat input daripada penggiat industri tempatan selain menjadikan industri filem global sebagai rujukan.

“Ada negara-negara luar yang telah menjalankan kajian mengenai klasifikasi filem. Atas alasan itu, kita laksanakan klasifikasi baharu supaya sesuai dengan perubahan masa dan teknologi, agar tidak terkebelakang.

“Kita membuat beberapa kali sesi libat urus dengan penggiat industri kreatif tempatan dan disebabkan itu, tidak banyak persoalan ditimbulkan pada sesi taklimat dijalankan, kerana mereka sudah jelas mengenai pelaksanaan klasifikasi baharu,” katanya.

Bahkan, Mohd Dusuki berkata LPF bersikap terbuka untuk bertemu dan berbincang dengan penggiat industri tempatan, sekiranya menghadapi sebarang permasalahan mengenai pengelasan klasifikasi.

“LPF bersedia pada bila-bila masa sekiranya penerbit dan pembikin filem berhasrat datang berbincang. Bagi filem luar yang masuk ke negara ini, klasifikasi diberi berdasarkan produk akhir yang dihantar manakala untuk penggiat tempatan, syarat mereka lebih longgar. Kita pelawa mereka untuk datang berjumpa dengan membawa produk akhir, seterusnya berbincang soal klasifikasi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan