LIMBANG, 18 Feb: Murah, sedap dan mengekalkan keaslian rasanya, antara faktor menjadikan cendol hasil tangan anak Limbang yang juga pengasas Tremendous Cafe Mohd Faizal Irman, dikenali bukan saja di Sarawak, Sabah dan Brunei malah turut popular di Semenanjung Malaysia.
Nama cendol Tremendous Cafe amat popular dan diminati sejak dulu sehingga kini, menyebabkan empayar perniagaan yang diasaskan bersama isterinya Fahimah Hamid dan adiknya merangkap Pengurus Tremendous Cafe, Mohd Nizam Irman kini berjaya dikenali di peringkat global.
Meskipun sudah meniti kejayaan dengan pelbagai anugerah seperti Anugerah Perdana Belia dan terkini Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak, beliau tidak lupa menghargai pelanggan-pelanggan setianya yang banyak mengangkat empayarnya ke mercu kejayaan.
Justeru Sambutan Ulang Tahun Tremendous Cafe yang ke-4 tahun yang diadakan hari ini bertujuan untuk menghargai para pelanggan setianya ini dengan menawarkan harga cendol RM2 segelas berbanding RM6 segelas pada hari-hari biasa.
“Sempena sambutan ulang tahun pada hari ini kami agihkan sebanyak 500 gelas cendol RM2 kepada pelanggan-pelanggan kami dan sudah tentu sebenarnya ini tidak melibatkan keuntungan tetapi adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada pelanggan-pelanggan kami yang tersayang.
“Pelanggan yang datang bukan saja daripada Limbang malah turut dihadiri daripada negara jiran Brunei, Sabah, Lawas dan Miri, Alhamdulillah sambutan yang sangat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui TVS.
Selain Limbang, pelanggan yang datang terdiri daripada pelanggan dari negara jiran Brunei, daerah Lawas dan juga pelanggan daripada negeri Sabah.
Sementara itu, pelanggan setia dari Brunei, Mardiana Maidin dan rakannya Rosnahyati Tamin sanggup memandu lebih sejam dari Jerudong ke Limbang semata-mata untuk mendapatkan cendol berkenaan.
Beliau yang memulakan perjalanan seawal jam 8 pagi dari negaranya sanggup menempuh barisan yang panjang demi mendapatkan cendol yang dijual pada harga istimewa.
“Kami peminat nombor satu cendol Tremendous, kami datang dari Brunei ke Limbang semata-mata untuk mendapatkan cendol di Tremendous Cafe.
“Tremendous Cafe semoga berjaya, maju jaya, lebih laris lagi dan kami peminat nombor satu dari Brunei,” katanya lagi.
Seorang lagi pelanggan setia dari Brunei, Macron Maduan berusia 24 tahun dari Kampung Bukit Udal Brunei menyifatkan rasa cendol yang segar dari dulu hingga kini, menjadikan Tremendous Cafe antara lokasi wajib yang dikunjungi apabila keluar ke Limbang.
“Kami suka Tremendous ini pun sebenarnya, suka minuman pada awalnya, tetapi bila kami turun ke Limbang ia jadi macam aktiviti kami setiap hujung minggu, sebab Tremendous ini harganya berpatutan dan rasanya yang segar,” katanya lagi. -TVS