KUCHING, 16 Feb: Acara Sarawak Design Week 2023 yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini berjaya mencatatkan hasil jualan memberangsangkan sebanyak RM446,716.
Pengerusi Sarawak Design Centre (SARADEC), Datuk Mohd. Naroden Majais berkata, sepanjang ekspo berkenaan, penganjur menerima kehadiran 10 ribu pelawat termasuk profesional industri dan peminat reka bentuk.
“Kita masih belum menerima angka akhir untuk pertanyaan jualan dan perdagangan bagi ekspo itu, tetapi setakat ini, jualan mencapai RM446,716.
“Ini merupakan permulaan yang baik untuk acara yang kali pertama diadakan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SARADEC, Dayang Nena Abang Bruce.
Sarawak Design Week 2023 dianjurkan oleh SARADEC dengan kerjasama Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.
Ia turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC).
Rakan kongsi strategik pula termasuk Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA), Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Yayasan Tun Jugah, CENTEXS Commercial, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Komuniti, Ran & Nong Creations, Dr Dorothy & Group serta penglibatan daripada sektor ekonomi, perdagangan dan pelancongan.
Sementara itu, Mohd. Naroden berkata, menerusi ekpso itu juga, ia dapat menjadi platform terbaik untuk mempamerkan reka bentuk buatan Sarawak.-TVS