SAMARAHAN, 17 Feb: Kepercayaan terhadap kewujudan naga dalam kalangan kaum Kayan, Kenyah, Berawan dan Penan di Sarawak disifatkan unik oleh pengkaji sejarah.
Kurator Koleksi Muzium Asia Tenggara dari University of Hull, Dr Monica Janowski berkata, kaum – kaum berkenaan percaya wujud sepasang naga jantan dan betina yang tinggal di Sungai Baram.
“Penduduk tempatan percaya dua naga itu berasal daripada ular besar yang turun dari bukit dan mendiami sungai di Baram,” katanya.
Janowski berkata demikian ketika membentangkan kajian bertajuk Power and Status: The Dragon in Baram di Institut Borneo, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.
Tambah Monica, antara penemuan menarik dalam penyelidikan beliau ialah kaum Kayan percaya yang naga merupakan jelmaan ular berbisa.
Katanya, berdasarkan temu bual bersama penduduk Kayan, mereka mempunyai nama khas kepada naga itu.
“Mereka memangilnya Sengian yang dipercayai menjadi pelindung kepada penghulu bernama Kebing pada abad ke 20 Masihi.
“Penghulu Kebing kemudian mencabar Sengian untuk berlumba yang mana pada perlumbaan pertama, penghulu itu tewas,” katanya.
Namun katanya, Kebing berjaya menebus kekalahan pada perlumbaan kedua sekali gus menjadi penghulu.
“Diceritakan juga naga itu kemudiannya bersetuju menjadi pelindung kepada penduduk Kayan,” katanya.
Tambah Monica, Sengian disebut sebagai golongan bangsawan kaum Kayan.
“Motif naga juga banyak digunakan, antaranya sebagai rekaan hiasan gereja di Padua, Itali yang saya temui pada 2018.
“Selain itu, motif naga turut digunakan oleh pelukis dari Berawan, Lengan Jengan dalam karya yang dihasilkan olehnya,” katanya.
Pensyarah FSKK, Dr Nicholas Gani dan bekas Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak, Dr Ipoi Datat serta aktivis budaya dan seni Orang Ulu, Mathew Ngau Jau antara yang turut hadir pada pembentangan berkenaan. -TVS