Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto MOF.

Malaysia, AS mengesahkan semula komitmen bagi kukuhkan hubungan ekonomi dua hala – Miti

ByBernama

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini mengesahkan komitmen untuk mempergiat kerjasama bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, serta di peringkat pelbagai hala dan serantau, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan di antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatannya dari AS, Katherine Tai, Wakil Perdagangan AS di Menara Miti Kuala Lumpur.

Kementerian itu berkata sebagai juara dalam sistem perdagangan pelbagai hala, Malaysia dan AS berkongsi rekod prestasi yang kukuh bagi hasil progresif dalam pelbagai forum antarabangsa.

Menyedari keperluan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, Tengku Zafrul memuji peranan AS dalam merintis Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF), sebuah pakatan perdagangan serantau dengan 14 ahli yang membincangkan kemudahan perdagangan; ketahanan rantaian bekalan; tenaga bersih, penyahkarbonan dan perubahan iklim; serta cukai dan rasuah.

“Tai berkongsi bahawa AS membayangkan keputusan oleh IPEF adalah pragmatik dan berpandangan ke hadapan kerana ia bukanlah perjanjian perdagangan konvensional.

“Sambil mengulangi kenyataan Tai, Tengku Zafrul menambah adalah penting bagi IPEF untuk menggariskan hasil yang ketara ke arah mencapai objektif perdagangan dan pelaburan bersama di rantau Indo-Pasifik,” kata kementerian itu.

Menurut Miti, Tengku Zafrul dan Tai bersetuju bahawa pematuhan terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan adalah cara utama untuk ke hadapan.

“Dalam memastikan penerimaan secara inklusif, Tengku Zafrul menekankan pada peralihan yang adil ke arah penerimaan ESG dan keperluan untuk menangani cabaran utama pelbagai peringkat pembangunan yang memerlukan sokongan dalam pembinaan kapasiti, yang mana AS, sebagai salah satu penyokong utama ESG, boleh memainkan peranan penting,” tambahnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menyatakan semangat yang berkobar-kobar untuk melibatkan diri dalam perbincangan dengan AS, sebagai pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, dan ekonomi APEC lain dalam meningkatkan agenda inovasi, pendigitalan, keterangkuman dan kemampanan pada 2023, terutamanya dalam memajukan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam hal ini, Malaysia percaya bahawa tema APEC 2023 “Creating a Resilient and Sustainable Future for All” adalah sesuai dan relevan untuk menangani cabaran ekonomi semasa ke arah mencapai objektif APEC.

“Sebagai ahli pengasas APEC, Malaysia dan AS mempunyai peranan penting bagi mencapai apa yang boleh diberikan oleh APEC, terutamanya dalam menyokong merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040 yang dilancarkan semasa Malaysia menjadi pengerusi APEC pada 2020, yang mana para pemimpin bertekad dalam memajukan agenda APEC bagi mencapai komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 demi kemakmuran rakyatnya dan generasi akan datang,” kata Miti.

AS pada masa ini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura.

Ketika ini, terdapat lebih 600 syarikat AS beroperasi di Malaysia dengan pelaburan utama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan AS meningkat sebanyak 23.3 peratus kepada RM267.58 bilion (US$60.70 bilion) berbanding RM216.97 bilion (US$52.33 bilion) pada 2021. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan