SAMARAHAN, 17 Feb: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberikan tumpuan kepada pembangunan Orang Ulu di Sarawak.
Bekas Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Dr. Ipoi Datat berkata, antara yang diperlukan oleh komuniti berkenaan ialah pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman.
“Saya berharap jalan raya yang menghubungkan Lawas dengan beberapa kampung di Ba’kelalan dapat dinaik taraf.
“Jalan ini penting dalam menghubungkan penduduk kampung yang membawa pelbagai barangan mereka untuk dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi harapan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat depan.
Katanya, kerajaan juga boleh meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan pedalaman menerusi pendidikan selain ilmu pemasaran untuk memasarkan barangan yang dihasilkan di sana.
Bagi aktivis budaya dan seni Orang Ulu, Mathew Ngau Jau, beliau berharap agar Kerajaan Perpaduan dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan seni dan budaya kaum itu di Sarawak.
“Saya berharap budaya Orang Ulu dapat diketengahkan menerusi pemberian dana khas oleh kerajaan kepada pengiat seni seperti saya.
“Ini penting bagi membolehkan budaya Orang Ulu ini dapat dipromosikan kepada orang ramai,” katanya.
Kata Mathew, persembahan yang dilakukan oleh Orang Ulu sentiasa menambat hati pengunjung dalam dan luar negara dan oleh itu, sudah tiba masanya Orang Ulu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Bekas pelajar Ijazah Kedoktoran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Azra Tilai pula berkata, beliau berharap agar tumpuan diberikan kepada pelajar luar bandar di Sarawak yang ingin melanjutkan pengajian ke universiti awam tempatan.
Katanya, terdapat golongan pelajar berkenaan tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan masalah kewangan.
“Saya berharap golongan ini diberikan perhatian oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023,” katanya. -TVS