KUCHING, 16 Feb: Sarawak berharap agar Kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan insentif cukai kepada industri yang melaksanakan tindakan mitigasi bagi menangani perubahan iklim.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri, Dr Hazland Abang Hipni berkata, perkara itu diharap dapat diperkenalkan menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat depan.
Ujar beliau, sokongan berkenaan perlu sebagai usaha menyokong aktiviti kelestarian.

“Pengecualian cukai yang bersifat sementara perlu diwujudkan bagi memudahkan proses kerja industri terutamanya melibatkan dua buah negara.
“Insentif cukai ini sangat bagus. Sebagai contoh, aktiviti penyimpanan karbon yang mana sekarang kita boleh menyimpan karbon dari tempat lain seperti Singapura disimpan di telaga minyak yang sudah habis di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Karbon Asia 2023 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata, ketika ini pemain industri sektor berkait kelestarian perlu menanggung kos yang tinggi mahal untuk membeli peralatan berkualiti tinggi.
Justeru, insentif cukai itu katanya secara tidak langsung akan membantu dalam mengurangkan kos yang perlu ditanggung selain meningkatkan penglibatan pemain industri berkenaan.
Dr Hazland turut memaklumkan, beliau akan bertemu Timbalan Menteri Kewangan pada minggu hadapan untuk membincangkan cadangan berkenaan sebelum pembentangan Bajet 2023.
Sebelum ini katanya kerajaan terdahulu telah mengumumkan insentif berkenaan dan beliau berharap agar ia dapat dikekalkan. -TVS