KUCHING, 17 Feb: Pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat depan diharap akan turut memberi peruntukan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Bau, kata Dato Henry Harry Jinep.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak itu berkata, antara yang diperlukan ialah menambah baik kemudahan di Hospital Bau.
Henry berkata, ini kerana hospital itu yang beroperasi selama lebih 30 tahun sudah mencapai kapasiti maksimum.
“Bangunan hospital juga sudah uzur, jadi kita perlu dana untuk menaik taraf hospital berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mini Lab Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) Tasik Biru di sini hari ini.
Sementara itu, beliau juga berharap pertimbangan akan diberikan untuk membina dua buah sekolah menengah baharu di Bau dan Jagoi.
“Berdasarkan jumlah penduduk yang semakin ramai melebihi 60,000 orang, sekolah baharu diperlukan untuk mengurangkan masalah kesesakan,” katanya.
Berkenaan GKCDA, Henry memaklumkan, inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk membangunkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti penduduk Bidayuh di Kuching dan Serian.
Ia sekali gus antara sembilan agensi wilayah di bawah kerajaan negeri yang akan menerima peruntukan RM1.5 bilion untuk melancarkan projek pembangunan sosioekonomi rakyat di kawasan terlibat.-TVS